Thursday, February 3, 2011

Bina empayar niaga 2 generasi

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Bermula dengan kerja menjual sate sekitar Brickfield, di Kuala Lumpur, satu ketika dahulu, seorang perantau dari Marang, Terengganu berjaya membina empayar niaga yang kini memasuki generasi kedua.
Perantau itu, Musa Ibrahim hanya memiliki pendidikan darjah enam dan berbekalkan kemahiran menjual sate nekad berhijrah ke ibu kota sehelai sepinggang untuk mencuba nasib.
Setelah tiga tahun menjual sate dengan terpaksa meninggalkan isteri dan anak di kampung, beliau berkata untuk membuka restoran impiannya Federal Malay Restaurant, sebuah restoran milik Melayu pertama di Jalan Chow Kit.

Pada masa yang sama, restoran itu juga menjadi rumah kepada beliau dan isteri beserta lima anaknya yang mula berpindah dari kampung ke Kuala Lumpur.
Hidup di ibu kota tidak seindah seperti yang disangkakan tetapi Musa berpegang kepada prinsip 'pantang mengundur bila kaki sudah melangkah'.
Di restorannya, anak dan isteri hanya tidur beralaskan meja makan di restorannya. Ini kerana tiada tempat tidur disediakan kerana seluruh ruang dimanfaatkan untuk perniagaannya.
Keadaan itu menyemarakkan semangatnya untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada keluarganya dan berjaya dicapainya setelah lima tahun berusaha apabila memiliki rumah sendiri di Keramat, dekat di sini.
Meskipun, sudah memiliki perniagaan yang stabil, usahanya tidak terhenti di situ sahaja. Musa mengorak langkah memasuki perniagaan baharu seperti khidmat penyajian makanan dan industri pembuatan batu bata.
Beliau kemudiannya memutuskan menutup restorannya dan menumpukan kepada perniagaan baru dan ternyata percaturan itu mendatangkan hasilnya.
Berkat kesungguhan, perkhidmatan penyajian makanan milik Musa berkembang dengan pesat sehingga berjaya mendapat kontrak daripada agensi kerajaan bermula dengan asrama jururawat di Hospital Kuala Lumpur diikuti kolej kediaman Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketika itu, tidak ramai usahawan menawarkan perkhidmatan tersebut dan kualiti perkhidmatannya melalui syarikat yang ditubuhkan iaitu Federal Malay Suppliers Sdn. Bhd. menjadi pujian ramai terutamanya agensi kerajaan.
Selepas itu, beliau turut membina kilang pembuatan batu bata sendiri di Terengganu di bawah syarikat Dendang Bata Industries Sdn. Bhd. dengan pelaburan sebanyak RM60,000.
Selepas itu Syarikat Musa Rahman Plastik Sdn. Bhd. pula menyusul dan berjaya mendapat kontrak bernilai RM300,000 bagi membuat barangan plastik untuk hospital kerajaan.
Beliau mencapai tahap kemuncak perniagaannya sekitar tahun 80an apabila berjaya mencatat perolehan tahunan sehingga RM15 juta dan selepas itu beliau menubuhkan syarikat induk iaitu Federal Malay Holdings Sdn. Bhd. (FMH).
Musa (kini Datuk Musa) yang merupakan pengerusi FMH merupakan antara antara contoh usahawan bumiputera yang berjaya.
Setelah lebih tiga dekad beliau berkecimpung dalam dunia perniagaan, kini legasi beliau dalam FMH diteruskan oleh anaknya iaitu Datuk Sharifuddin Musa, 38, yang bertindak sebagai Pengarah Urusan.
Seperti mana Musa, Sharifuddin mewarisi kesungguhan dan kecekalan bapanya untuk meneruskan kesinambungan kejayaan FMH ke peringkat lebih tinggi.
Di bawah pengurusan generasi kedua, FMH berjaya mengembangkan operasi dengan mempunyai 10 buah syarikat terbabit dalam industri pembuatan plastik, pembinaan, makanan dan landskap.
Menurut Sharifuddin, anak keenam daripada sembilan beradik yang hanya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini, bapanya merupakan ikon kepada beliau dan adik-beradiknya dalam menceburi dunia perniagaan.
"Kami adik-beradik diajar untuk berdikari. Saya sendiri bermula dengan membuka perniagaan sendiri sebelum bergabung dengan FMH pada 1999 setelah mendapat kepercayaan daripada ayah.
"Ayah mahu kami merasai kesusahan dahulu untuk dijadikan pengalaman berguna seperti yang beliau lalui sebelum ini,'' kata beliau.
Kejayaan Sharifuddin telah mendapat pengiktirafan Universiti Malaya apabila memenangi anugerah Usahawan Muda Malaysia 2010 dan dilantik menjadi duta universiti itu melahirkan lebih ramai usahawan muda dari kalangan mahasiswa universiti berkenaan.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...