Friday, February 4, 2011

Fzaidy Steambot pecah monopoli kaum lain

STEAMBOAT atau yong taufu biasanya dikaitkan dengan makanan Cina. Malah, perniagaan ini juga banyak dimonopoli oleh kaum bukan Melayu walaupun kebanyakan penggemarnya terdiri daripada masyarakat Melayu.

Sehubungan itu, Fzaidy Steamboat mengambil pendekatan ini dengan menjual steamboat yang diyakini Halal kerana menggunakan bahan mentah keluaran Hikmah Food Specialties Sdn Bhd (Hikmah Food) di bawah pemiliknya, Syed Abdullah Syed Hassani.


Fzaidy Steamboat yang diusahakan Mohd Fairos Zaidi Mat Zin, 33, dan isterinya, Wan Rohani Wan Ibrahim, 31, itu mengambil inisiatif ini memandangkan makanan ini juga turut diterima baik masyarakat Melayu.

“Kalau kita lihat di luar sana, ramai peniaga yang berniaga makanan ini terdiri daripada orang bukan Melayu. Peniaga Melayu memang kurang, tetapi pelanggan Melayu ramai yang menggemari makanan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dengan bermodalkan RM13,000 sebagai modal permulaan termasuk membeli lori, pengubahsuaian lori dan membeli peralatan, perniagaan yang diusahakan sejak Ogos tahun lalu menjadikan Danau Kota sebagai lokasi perniagaannya.

Menurut Mohd Fairos, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, malah dia juga turut menyifatkan tiga jenis kuah iaitu kuah manis, pedas dan kuah kacang sebagai daya penarik yang menarik pengunjung ke tempatnya.

Tambahnya lagi, perniagaan yang dibuka setiap hari daripada jam 9 malam sehingga 2 pagi ini, mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.

“Biasanya dalam satu malam, keuntungan yang diperoleh kira-kira RM500 dan pada hujung minggu ia akan meningkat kepada RM700 hingga RM800.

“Biasanya juga, pelanggan akan membeli tujuh hingga 10 cucuk seorang dan dalam sebulan saya mampu memperoleh pendapatan sehingga RM15,000,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai perancangan perniagaannya untuk tahun ini, Mohd Fairos berhasrat menambahkan lagi tiga lori dan memperluaskan kawasan perniagaannya ke tempat yang lebih banyak.

Di samping itu, Mohd Fairos juga turut berhasrat untuk membuka sebuah restoran yang menjual steamboat dalam tempoh tiga tahun akan datang memandangkan sambutan yang amat menggalakkan.

Sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...