Friday, February 4, 2011

Latih graduan jadi usahawan

Graduan masa kini perlu menjana pendapatan tinggi dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan tidak lagi belajar untuk mendapat pekerjaan sama ada dalam sektor awam atau swasta.
Pengarah Urusan Vertical Impact Sdn. Bhd., Zaharudin Othman berkata, graduan yang melibatkan diri dalam dunia perniagaan bukan sahaja mengukuhkan taraf ekonomi dirinya malah ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Beliau memberitahu, peluang amat luas dan potensi untuk berjaya juga tinggi jika graduan mempunyai sikap yang betul serta fokus dalam sesuatu bidang sahaja.
"Lakukan apa jua tugasan atau pekerjaan dengan ikhlas dan teliti bukan asal siap sahaja," nasihat beliau kepada 60 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri di kilangnya di Sungai Buloh, selangor baru-baru ini.
Menurut Zaharudin, pelajar yang menjalani latihan industri di syarikatnya dibimbing dan dilatih menjadi seorang usahawan bukan untuk diambil sebagai pekerja apabila mereka tamat pengajian.
"Hasrat kita adalah membantu meramaikan usahawan bumiputera khususnya dalam industri pameran dan pengurusan acara," katanya yang telah 10 tahun menceburi dunia perniagaan tersebut.
Bilangan pengusaha bumiputera ada tetapi masih belum mencukupi dan hanya pada peringkat paling atas sahaja, kata Zaharudin.
Jelasnya, pada peringkat sub-kontraktor, ia didominasi oleh kaum lain sedangkan kita mempunyai lulusan universiti yang ramai dalam bidang berkaitan seperti seni reka grafik, seni reka hiasan dalaman, landskap dan perkayuan.
Untuk merealisasikan wawasan itu, Vertical Impact mula mengambil pelatih industri dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti dari seluruh negara.
"Pelajar ini dilibatkan secara langsung dengan projek sebenar supaya mereka boleh menguasai kemahiran berkomunikasi dan mampu menyelesaikan sebarang permasalahan secara pantas tetapi memuaskan hati semua pihak," ujarnya.
Tambah beliau, kemahiran insaniah seperti itu perlu diasah melalui pengalaman berurusan dengan pelanggan di lapangan supaya mereka mendapat keyakinan diri untuk berurus niaga secara profesional.
Malah, tegas Zaharudin, Vertical Impact sanggup menyediakan ruang di kilangnya untuk graduan memulakan perniagaan dalam industri pameran dengan syarat mereka serius dan tertakluk kepada terma tertentu.
Pada masa sama, beliau berharap, pensyarah di IPT dapat membantu membuka minda graduan kita untuk terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan agar dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi.
"Syarikat akan melatih anak-anak yatim dari rumah kebajikan dan anak orang Asli untuk menjadi usahawan pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kolej Komuniti Masjid Tanah, Melaka, Mohd. Rahim Mahmood berpuas hati dengan latihan, tugasan dan layanan Vertical Impact kepada penuntutnya yang menjalani latihan industri di situ.
Beliau memberitahu, pelatih disediakan kemudahan tempat tinggal yang dilengkapi kemudahan penghawa dingin, televisyen dan katil di samping bekalan makanan asas seperti beras, bawang dan telur.
"Kami akan meneruskan kerjasama dengan syarikat ini dalam membekalkan pelajar untuk latihan industri dan program kebolehpasaran graduan," katanya bersungguh-sungguh.
Sementara itu, Koordinator Latihan Industri UiTM Shah Alam, Dr. Siti Rafedah Abdul Karim berkata, melalui latihan industri graduan dapat mengaplikasikan teori secara praktikal apabila melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Selain itu, katanya, graduan juga boleh menimba pengetahuan baru serta tip atau petua rahsia menjadi usahawan berjaya daripada pemilik syarikat di mana mereka ditempatkan. Malah maklum balas positif juga diterima daripada pelajar yang menjalani latihan industri selama enam bulan di Vertical Impact.
Seorang pelajar, Mohd. Yunazri Mustamiri, 20, memberitahu, keyakinan dirinya bertambah dan kemahiran komunikasinya juga meningkat.
Dia berhasrat untuk menjadi usahawan selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Landskap dan Pengurusan Nurseri di Kolej Komuniti Masjid Tanah, Melaka.
Rakannya, Rehana Jasmin Zaila, 21, dari UiTM Seri Iskandar Ipoh, pula berasa bertuah kerana dapat memahami cara mengkonstruk binaan atau pavilion semasa sesuatu pameran berlangsung.
"Kini saya tahu kosnya berapa dan margin keuntungan yang diperoleh syarikat," kata pelajar Diploma Hiasan Dalaman ini.
Beliau uga bangga kerana dapat mempelajari perisian baru - 3D Max dan Sketch UP - atas inisiatif sendiri untuk mereka bentuk gerai pameran.
Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...