Thursday, February 3, 2011

Dedah budaya belajar sambil berniaga

MAMPUKAH penuntut universiti menjana pendapatan sendiri, menjelaskan yuran pelajaran dan tidak bergantung kepada biasiswa kerajaan apabila melanjutkan pengajian di universiti?
Mungkin agak sukar untuk diterima akal kerana pelajar sememangnya tidak berduit, masih bergantung harap kepada ibu bapa dan rata-rata memerlukan biasiswa kerajaan untuk ke menara gading.
Bagaimanapun, tidak ada yang mustahil untuk hasrat tersebut dilaksanakan jika penuntut universiti didedahkan dengan budaya keusahawanan sejak di bangku sekolah dan diberi galakan menceburi bidang perniagaan seawal mungkin.

Begitulah optimisnya Timbalan Bendahari Agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Azman Bidin semasa melontarkan ideanya untuk melahirkan usahawan muda, meringankan beban ibu bapa dan sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan.
''Untuk pelajar universiti, sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun kita ajar dia berniaga, biar dia pegang duit. Kita hidupkan budaya belajar sambil berniaga... kenapa budaya bekerja sambil belajar kita boleh terapkan tetapi budaya belajar sambil berniaga kita tidak boleh buat.
''Bila sudah ada duit sendiri, mereka tidak akan menyusahkan ibu bapa... yuran pengajian boleh dijelaskan dan mereka juga tidak perlu bergantung pada biasiswa kerajaan.
''Jika budaya ini dapat dipraktikkan saya percaya kerajaan juga yang akan mendapat manfaatnya. Bermacam-macam jenis perniagaan mereka boleh jalankan asalkan ia tidak mengganggu pengajian, sebaliknya memberi keuntungan," katanya kepada Utusan Malaysia.
Begitulah besarnya hasrat anak muda kelahiran Terengganu ini untuk melahirkan usahawan berjaya. Selain membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran, mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat, hasrat ini juga mampu melahirkan seberapa ramai usahawan hingga bergelar jutawan.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia ini dengan bangga mengakui bahawa beliau bergelar jutawan tanpa bergantung walau satu sen pun duit kerajaan. Malah berbangga kerana berjaya menghasil lebih 4,000 usahawan yang mampu menjana pendapatan lebih RM10,000 sebulan.
Meninggalkan kerjaya sebagai akauntan bertauliah di DRB-Hicom selepas bekerja selama 13 tahun, Azman dengan penuh yakin mula mengorak langkah menjadi seorang perunding perniagaan dan perakaunan kepada usahawan.
''Tidak kira walau sekecil mana pun bisnes yang ingin diusahakan, saya bersedia untuk membantu mereka mencapai matlamat bergelar jutawan asalkan mereka bersedia untuk mengubah diri sendiri.
''Pertama sekali mind set perlu diubah, kita kena jelaskan pada mereka bagaimana hendak keluar daripada kepompong kemiskinan agar akhirnya nanti usahawan muda ini tahu ke mana hala tuju mereka.
''Bagi saya apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat melalui pelbagai bantuan tidak mampu membantu rakyat keluar dari kemiskinan.
''Dalam bahasa yang mudah, kerajaan patut bagi tali pancing dan pukat, biar mereka cari umpan, turun ke laut, tangkap ikan dan jual, di situlah hasilnya. Bila hasil tangkapan dijual sudah tentu mereka ada duit.
Seterusnya, saya akan ajar mereka macam mana nak uruskan duit, buat akaun dengan betul dan uruskan pendapatan dengan betul sehingga boleh menjana ekonomi," jelasnya panjang lebar.
Azman berkata, beliau berhasrat menjalin kerjasama dengan beberapa buah kementerian untuk melahirkan bakal jutawan generasi muda seperti para lepasan sekolah dan graduan universiti.
Beliau mahu anak-anak muda itu sudah mempunyai 'mind set' bahawa mereka membesar tanpa bergantung kepada subsidi kerajaan, tidak mahu beranggapan apabila habis belajar, pekerjaan sudah menanti atau meminta derma untuk ke sekolah.
''Saya mahu budaya keusahawanan itu dimulakan sejak dibangku sekolah lagi. Di sekolah ada Program Usahawan Muda (PUM), apa salahnya kita galakkan pelajar belajar berniaga melalui koperasi atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Mereka diasuh berniaga secara kecil-kecilan untuk mendapatkan dana, bukan lagi meminta derma.
Beliau yang turut aktif dalam dunia perniagaan pemasaran bertingkat (MLM), mempunyai persepsi yang cukup positif dalam perniagaan tersebut kerana mampu menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit.
Bertitik tolak dari situlah beliau mahu berkongsi pengalaman untuk membantu melahirkan seberapa ramai usahawan muda tanpa mengira latar belakang dan usia, asalkan mereka mahu berjaya dan sanggup bekerja keras.
''Tiada kejayaan datang bergolek di depan mata, sebab itu saya rasa marah apabila melihat ramai yang mudah terpedaya dengan memasuki pelaburan skim cepat kaya, kerana 'mind set' mereka hendak dapat duit 'atas angin' tanpa perlu bersusah payah, inilah yang masalah orang kita.
''Nasihat saya mudah saja, kerja dulu baru pandai. Bila sudah pandai, baru kita boleh berjaya. Sebenarnya kita boleh mulakan perniagaan tanpa memerlukan modal sehingga mencecah ribuan ringgit tetapi itulah persepsi kita, kalau nak mula berniaga kena ada modal besar," katanya.
Bagi membuktikan bahawa kata-katanya itu dapat dikotakan, beliau bersedia dipanggil oleh mana-mana universiti untuk melatih sekitar 50 orang penuntut sehingga mereka mampu menjadi usahawan berjaya.
''Saya tidak minta bajet dari kerajaan, saya tidak mahu pun duit kerajaan tapi yang saya mahu buat ialah bantu kerajaan. Yang saya harapkan di sini ialah sokongan daripada kerajaan," kata Azman yang menjadikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sebagai idolanya.
Sumber : Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...